Pages

 
Showing posts with label Temuduga. Show all posts
Showing posts with label Temuduga. Show all posts

Temuduga & kasut wanita.


Wanita dan kasut, memang tidak dapat dipisahkan. Hadir ke temuduga (acara formal), dengan bentuk kasut yang betul akan memberi persepsi yang baik. Kasut memberi impak formal/kasual buat pemakai.

Bentuk kasut ABC:
A - formal, untuk bentuk kaki yang kecil dibahagian jari kaki (biasanya bentuk badan kurus),
B - formal, untuk bentuk kaki yang lebar dibahagian jari kaki (kebanyakkan kita),
C - santai (tidak formal), tidak sesuai dibawa ke temuduga dan kerja.

Ketinggian tumit kasut untuk kaegori formal adalah 1-2 inci. 


Tip penampilan ini dikongsikan daripada Puan Mary Anni, Master Trainer di Akademi Perunding Imej Profesional.

Semoga berjaya buat yang bakal ditemuduga dan memulakan alam kerjaya!

Nota: warna kasut, disarankan berwarna hitam (warna korporat).
Read more...

Temuduga & kemeja lelaki.


Hadir ke temuduga, itulah permulaan imej visual calon temuduga bagi penemuduga. Ia persepsi pertama. Kemeja, pakaian formal utama lelaki. Pilihan kemeja yang tepat, memberi persepsi yang baik. Ia kredit awal untuk saringan temuduga.

Lipatan belakang pada kemeja (pleat), ada 3 jenis:
Box pleat - untuk yang perut yang berisi (1 pack),
Side pleats - untuk yang punya bahu bidang dan sasa,
No pleats - untuk yang bentuk tubuh H (straight cut).


Kekemasan pemakai akan lebih terserlah dengan pemilihan jenis pleat kemeja yang berpadanan dengan bentuk tubuh.

Tip penampilan ini dikongsikan daripada Puan Mary Anni, Master Trainer di Akademi Perunding Imej Profesional.

Semoga berjaya buat yang bakal ditemuduga dan memulakan alam kerjaya! 

Sumber gambar: http://artofstyle.hucklebury.com/
Read more...

Interview Preparation Workshop (IPW)

Interview Preparation Workshop (IPW) - Bengkel Persiapan ke Temuduga.

Program ini merupakan program popular Career Cube di dalam kalangan pelajar MRSM, SBP dan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di seluruh Malaysia. Ia program yang memberikan kemahiran menulis resume untuk permohonan biasiswa, penampilan profesional ke temuduga, etika dan komunikasi semasa temuduga.

Bahagian yang paling dinantikan oleh para peserta adalah sesi Mock Interview. Di mana, mereka akan merasai sendiri pengalaman ditemuduga oleh panel luar dan ia dijalankan di dalam Bahasa Inggeris. Selepas sesi mock interview berkumpulan, maklumbalas dan ruang penambahbaikan yang boleh dibuat oleh pelajar, terus dikongsikan oleh panel penilai.

Keistimewaan Career Cube adalah, penghasilan laporan individu setiap peserta yang diserahkan kepada pihak kaunselor dan pentadbiran sekolah selepas tamat program. Melalui laporan ini, pihak sekolah akan dapat meliat dengan lebih jelas ruang penambahbaikan khusus buat setiap pelajar mereka.

Video ringkas ini menceritakan tentang perjalanan program IPW selama 2 hari 1 malam.

Read more...

Seminar Persiapan Kerjaya Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)


24 Nov 2012 – Tim Career Cube kali ini telah dijemput oleh kaunselor UTHM Johor bagi berkongsi tips kepada 150 mahasiswa/i berkenaan penampilan professional. Penampilan yang tepat secara tidak langsung mampu ‘memikat’ perhatian para penemuduga ketika menghadirkan diri ke sebarang sesi temuduga di masa hadapan.

Namun sebelum seminar bermula, kami telah dijemput terlebih dahulu untuk mengendalikan sesi temuduga (mock interview) bersama-sama dengan panel temuduga yang didatangkan khas dari bahagian pengurusan sumber manusia Sime Darby. Mock Interview ini berlangsung selama setengah jam dan melibatkan 6 pelajar tahun akhir dari pelbagai bidang. Ini merupakan pengalaman yang baik sebagai titik permulaan pendedahan mahasiswa/I bagi menempuh alam pekerjaan yang lebih mencabar dan konpentitif.

Mengambil dari slogan universiti “dengan hikmah, kita meneroka”, kami dengan ini mengucapkan selamat maju jaya bagi para graduan UTHM Johor. Semoga segala ilmu yang telah dikongsikan sedikit sebanyak dapat membantu kalian di masa hadapan.

Antara kemahiran yang dikongsi kepada peserta program adalah berkaitan dengan tali leher seperti berikut :
  • Pastikan tali leher yang digunakan bersesuaian dengan keseimbangan saiz badan (body proportion). Dengan cara,  luas paling besar tali leher bersamaan dengan luas kolar leher kemeja.
  • Sebaiknya- baiknya hujung tali leher perlu menyentuh kepala tali pinggang si pemakai dalam keadaan berdiri. Adalah tidak benar jika kepanjangan tali leher melepasi tali pinggang menunjukkan status perkahwinan pemakai.








Untuk melihat lebih banyak gambar, lawati FBCareer Cube kami
Read more...

Bengkel Persiapan ke Temuduga dan Mock-interview: MRSM Transkrian, Pulau Pinang


Tim Career Cube bersama dengan 148 orang pelajar tingkatan 5 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Transkrian, Pulau Pinang selama 2 hari. Hari pertama, para peserta berbengkel bersama kami dari pagi hinggalah ke petang. Para peserta didedahkan dengan persediaan sebelum menghadapi sesi temuduga untuk mendapatkan biasiswa dan pinjaman pelajaran.

Program kali ini sungguh menarik dan seronok di mana, kesemua 148 orang pelajar ini ditemuduga secara berkumpulan oleh tim Career Cube. Sesi temuduga dijalankan secara berkumpulan, 2 panel penemuduga dan setiap kumpulan terdiri daripada 5 orang pelajar.

Kesemua kemahiran yang dilatih di dalam bengkel terus dipraktikkan oleh para peserta. Antaranya,
  •          Membawa beg tangan ke temuduga untuk calon wanita
  •          Penyusunan sijil di dalam fail yang mengikut penceritaan resume
  •          Memulakan sesi pertemuan dengan sapaan hormat dan tatacara bersalam yang betul
  •          Menjawab soalan sensitive yang diajukan dengan berhemah
  •          Fokus kepada kelebihan dan kemahiran diri sepanjang temuduga

Para peserta dinilai berdasarkan kepada penampilan diri, interpersonal, kemahiran, dan kebolehan tersendiri di dalam menyatakan sudut pandang. Keseluruhan penilaian, para peserta dikategorikan kepada 3 kategori:
  •          Memuaskan (Satisfactory)
  •          Baik (Good)
  •          Cemerlang (Excellent)







Untuk melihat lebih banyak gambar, lawati FBCareer Cube kami.
Read more...

Bengkel Persiapan ke Temuduga di SM Sains Bagan Datoh (SABDA)

Pada 14 Oktober 2012 yang lalu, tim Career Cube telah berpeluang untuk bersama para pelajar Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh (SABDA), Perak. Seramai 148 orang pelajar tingkatan 5 telah didedahkan dengan persiapan yang perlu dilakukan sebelum menghadapi temuduga untuk biasiswa dan tajaan pendidikan.

Program satu hari ini berjalan dengan lancar dan para peserta sungguh komited sepanjang sesi. Lebih menyeronokkan adalah di akhir sesi, kami mengadakan mock-interview. 3 orang pelajar dipilih secara rawak dan menjalani sesi temuduga.


Antara kemahiran yang dikongsikan sepanjang sesi ini adalah teknik penyusunan sijil dan dokumen:
  • Memilih sijil yang berkaitan dengan penceritaan resume
  • Menyusun sijil mengikut turutan penceritaan resume dengan yang paling terkini di hadapan sekali.
  • Memilih fail yang menampilkan kekemasan agar mudah untuk penemuduga meneliti sijil.

Dan, persoalan yang paling mendapat perhatian: Adakah dibenarkan untuk menulis aktiviti yang tidak diberikan sijil?

Dengan kemahiran ini, calon temuduga mampu dilihat jauh lebih bersedia berbanding calon yang lain.







Untuk melihat lebih banyak gambar, lawati FB Career Cube kami.
Read more...

Bengkel Persiapan ke Temuduga SBPI Gopeng.


Pertama kali tim Career Cube menjejakkan kaki di Bumi Gopeng yang sungguh memukau dengan bukit bukau subur menghjau. Sungguh tenang rasanya. Bertuah dapat belajar di lokasi yang sebegitu indah.

Maka, pada 25 September 2012 Bengkel Persiapan ke Temuduga dijalankan di SBPI Gopeng (Sekolah Berasrama Penuh Integrasi). Bengkel ini dihadiri oleh 169 orang pelajar yang kesemuanya adalah pelajar tingkatan 5.

Sungguh kagum dengan kesungguhan para peserta sepanjang bengkel. Mereka aktif dan memberikan respon yang baik menjadikan suasana program ceria.

Antara perkara yang diketengahkan adalah:
  • ·         Teknik berpenampilan professional untuk ke temuduga
  • ·         Rangka asas sebuah resume yang efektif
  • ·         Prosedur dan etika temuduga biasiswa dan tajaan untuk melanjutkan pelajaran






Untuk melihat lebih banyak gambar, lawat laman FB CareerCube kami.
Read more...

Dari Meja Konsultan: Menghafal bukan caranya

Salam hormat,

Seringkali ketika saya mengendalikan program, peserta akan bertanya, "Apakah soalan yang paling kerap ditanya oleh penemuduga dan apakah jawapan yang paling tepat?". Anda juga mungkin berminat pada soalan-soalan ini bukan? Apatah lagi jika anda fresh grad yang akan menghadiri temuduga kerja pertama anda.

Tiada jawapan yang standard
Saya boleh berikan anda senarai soalan yang mungkin akan ditanya kepada fresh grad dan teknik untuk menjawab soalannya seperti di sini. Namun ini pun sekadar panduan. Setiap tawaran untuk jawatan yang berbeza, daripada syarikat yang berbeza akan memungkinkan jawapan yang berbeza. 

Apatah lagi apabila terdapat pelbagai pengalaman dan penglibatan pada setiap calon. Adapun mungkin pengalaman dan penglibatan yang dilalui sama/hampir sama, kesannya pada perkembangan kemahiran dan mental setiap individu pasti ada kelainan.

Gambar hiasan.
Tidak perlu cuba untuk menghafal
Ini bukan ujian menghafal seperti di sekolah. Seperti yang saya tekankan tadi, tiada jawapan yang standard. Jadi tidak perlulah menghafal jawapan kepada soalan 'ramalan' temuduga tersebut, mengetahui corak soalannya sudah memadai. Kedegilan anda untuk terus berbuat demikian hanya akan menjadikan anda seperti answering machine. Dan saya pasti, tiada majikan yang mahu mengambil 'mesin' bekerja. Mereka mahukan manusia - boleh berdikari, boleh bekerjasama, fleksibel dan cepat belajar walaupun dalam keadaan tekanan kerja yang berbeza-beza.

Jadi buktikanlah anda 'orang' yang mereka cari selama ini. Untuk buktikannya, anda perlu berikan reaksi bijak kepada soalan yang ditanyakan, bukan memberi jawapan yang sama seperti orang lain.

Homework masih diperlukan
Walaupun temuduga bukan seperti ujian di sekolah, kunci kejayaannya tetap sama. Anda perlu buat kerja rumah anda dan lakukan ulangkaji! Jika anda menerima panggilan yang memaklumkan anda berjaya mendapat tempat ke sesi temuduga, segera mulakan research anda.
 
Pergi ke website syarikat tersebut dan dapatkan data yang penting - apakah produk atau servis yang ditawarkan oleh syarikat tersebut? Fahami prinsip perniagaan syarikat dan kelebihan produk/servis yang ditawarkan. Untuk memastikan anda tidak ketinggalan, update diri anda dengan inisiatif terbaru syarikat berkenaan. 

Anda mesti baca bahagian berita (news) kerana kebiasaannya terdapat keratan akhbar berkaitan perkembangan terbaru syarikat yang dikumpul di bahagian ini. Kaji dan ketahui juga peranan yang akan anda lakukan jika anda mendapat jawatan itu nanti.

Kesilapan ramai calon temuduga, terutama mereka yang pertama kali hadir ke temuduga ialah mereka terlalu asyik menyiapkan diri, menghafal soalan dan jawapan tetapi mengabaikan persediaan pengetahuan mereka tentang syarikat.

Percayalah, bakal majikan tidak mahu mengambil bekerja seseorang yang zero knowledge tentang syarikat.

Review semula diri anda
Ambil sedikit masa beberapa hari sebelum temuduga untuk mendalami diri anda semula. Baca semula resume yang telah anda tulis dan fikirkan tiga perkara ini:
  • Apakah aset anda (latar belakang, pengalaman, kemahiran, kekuatan atau pengetahuan) yang paling diperlukan dalam jawatan yang ditawarkan?
  • Bagaimana kehadiran anda boleh mengubah/mengembangkan fungsi dan peranan jawatan tersebut?
  • Bagaimana anda boleh menguntungkan syarikat (secara langsung atau tidak langsung)?

Sediakan slides
Temuduga akan jadi lebih mudah dan menyeronokkan jika anda bersiap sedia. Persiapan adalah asas kejayaan. Menggunakan semua perkara yang saya telah nyatakan dan selepas kajian dan homework yang jitu, saya sarankan anda sediakan powerpoint slides (dalam bentuk points, bukan karangan) yang tidak melebihi 10 slides kesemuanya.

Tayangkan slides ini kepada diri anda sekurang-kurangnya 10 kali sehingga anda boleh bayangkan anda melalui temuduga dengan jayanya sejak dari anda melangkah masuk sehingga akhir temuduga. Bukan menghafal ya! Tujuan slides ini disediakan agar anda mempunyai panduan dan bersedia dengan lebih rapi. Ia juga melatih gaya komunikasi anda, tona suara anda dan nada keyakinan anda. Practice makes perfect!

Cuma satu pesanan terakhir saya, jangan pula anda cetak slides anda dan bawa ke temuduga kerana temuduga bukan seperti ujian di sekolah. Ingat: tiada jawapan standard dan jangan cuba menghafal.

Dari meja konsultan,
Read more...

Dari Meja Konsultan: (Bahagian 2) 'Buang masa je ambil degree 3-4 tahun...'

Selamat membaca kembali,

Berikut merupakan sambungan daripada artikel (Bahagian 1) 'Buang masa je ambil degree 3-4 tahun...' 

  • sume sambung amik master plak.. pada yg berkemampuan ok la tu.. tp apa yg saya nampak tak ke sama lepas amik master lg susah nak dapat keje? 
Dalam soal sambung ke peringkat master ini, adalah terpulang kepada masing-masing. Secara peribadi, saya cuma ingin berpesan - (jikalau boleh) janganlah jadikan kesukaran mendapat pekerjaan sebagai sebab untuk menyambung pelajaran ke peringkat master. Jika mahu sambung pengajian, pastikan sebabnya adalah untuk menambah ilmu, tingkatkan pengetahuan dan menaikkan taraf diri, academically


Ramai rakan-rakan saya sambung ke peringkat master kerana mahu menceburkan diri dalam bidang akademik - jadi pensyarah dan ahli akademik tertinggi. Itu kerjaya pilihan mereka dan dalam bidang akademik tinggi sebegini memang perlu lebih daripada segulung degree. Ini keperluan pekerjaan tersebut.

Kenapa saya katakan ' jangan jadikan kesukaran mendapat pekerjaan sebagai sebab untuk menyambung pelajaran ke peringkat master'? 

Tanyalah diri anda, adakah setelah selesai pengajian master nanti akan memudahkan jalan anda untuk mendapat pekerjaan? Jika ya, teruskanlah belajar. Jika tidak, pertimbangkanlah semula. Bagi saya anda hanya perlu ambil beberapa kelas khas untuk upgrade diri dan tingkatkan potensi diri anda. Dan jika anda kata 'tak tahulah' atau 'tak pasti', kaji semula semua strategi anda dan target hidup anda.

  • at least degree lg murah gaji dr master.. so majikan mesti teragak2 utk amik org master dengan langsung xde pengalaman keje.. 
Majikan tiada masalah dan tidak teragak-agak untuk ambil sesiapa pun bekerja, tidak kiralah berlatarbelakangkan degree atau master. Sebelum saya ulas panjang, mari kita fahami asas proses pengambilan staf baru oleh majikan. 

Pertama, pegawai daripada Jabatan Sumber Manusia (HR Department) akan dimaklumkan tentang kekosongan atau keperluan menggaji orang baru oleh jabatan (department) lain. Maka satu usul kepada pihak pengurusan (management) tertinggi akan dibuat untuk memohon kebenaran menggaji orang baru. Pihak pengurusan akan menilai usul ini dan mengkaji melalui pelbagai sudut sama ada dengan menggaji orang baru akan mendatangkan keuntungan (profit) kepada syarikat dan membantu mengembangkan lagi potensi syarikat. 

Apabila usul ini diluluskan, HR Department akan dimaklumkan tentang kelulusan peruntukan daripada pihak pengurusan tertinggi berkenaan kos untuk menawarkan jawatan ini (iklan, kos sewa portal pekerjaan dan sebagainya), kos melatih pekerja baru tersebut, faedah-faedah pekerjaan yang lain seperti bonus, cuti dan bantuan perubatan. Kesemua kos ini sudah dikaji dan diambil kira lebih awal kerana ia melibatkan duit syarikat. 

Kemudian, jawatan tersebut pun ditawarkan berdasarkan kriteria tertentu. Ramailah yang berpusu-pusu memohon - ada yang layak, yang kurang layak, yang terlebih layak pun ada. 

Jadi bagaimana majikan mahu membuat pilihan? Seperti yang saya selalu tekankan - pertama sekali penilaian pada resume (sebab itulah resume mesti ada 'umph') dan seterusnya setelah pilihan resume dibuat, screening pula semasa temuduga. 

Semasa temuduga, majikan mahu mencari seseorang yang sesuai dengan jawatan yang ditawarkan. Maksud 'sesuai' di sini ialah 'mampu menjalankan tugas yang bakal diberi dengan efektif'. Jadi, jika anda majikan, apa yang anda akan pandang pada seorang calon temuduga tersebut?


Inilah yang kita panggil PAKEJ. Calon mestilah mempunyai kelayakan yang mencukupi, sikap yang betul dan kemampuan menjalankan tugas yang bakal diberikan. Kelayakan orang yang memohon mungkin degree atau lebih tinggi, itu tidak menjadi masalah kepada majikan. Persoalan yang lebih utama pada mereka ialah 'Mampukah calon ini menjalankan tugas yang ditawarkan itu nanti?', 'Adakah beliau mempunyai sikap yang betul untuk bertahan lama di sini?'. Di sinilah 'nilai' anda mula dihitung. 

Bukan mudah (tetapi ada tekniknya) untuk majikan menilai calon yang betul untuk diambil bekerja apatah lagi semasa temuduga adalah pertama kali mereka bertemu calon temuduga tersebut. Tersilap pilih, seseorang yang diambil bekerja itu mungkin tidak bertahan lama dan ini merugikan syarikat. 

Apabila jawatan ditawarkan kepada calon yang layak, tangga gaji dan faedah lain pun ditetapkan. Anda perlu ingat, perkara yang melibatkan kos untuk menggaji pekerja ini sudah pun ditetapkan awal sebelum jawatan tersebut diiklankan. Yang menjadi penentu adalah PAKEJ anda. Layakkah anda dibayar pada tangga gaji maksimum, minimum atau pertengahan? Inilah yang berada di minda majikan dan ditentukan oleh mereka. 

Oleh sebab itulah mereka yang mempunyai pengalaman bekerja mempunyai kelebihan. Mereka mampu mempamerkan bahawa mereka mempunyai pakej yang dicari semasa temuduga. Manakala calon yang baru pertama kali mencari kerja mungkin akan berasa canggung apabila melalui proses temuduga dan mengakibatkan mereka tidak mampu mempamerkan pakej mereka dengan lebih efektif.
 
  • saya skarang dalam proses untk sambung blaja..cuma x sure nk amik jurusan apa...
Saya mempunyai pelbagai perkongsian menarik yang berkaitan dengan soalan di atas. Saya mempunyai rakan yang belajar dalam bidang farmasi dan kini berjaya sebagai seorang pegawai syarikat kewangan. Saya juga mempunyai rakan yang mempunyai degree dalam kejuruteraan dan kini berjaya sebagai pegawai Human Resource. Malah ramai juga doktor menjadi ahli politik dan peguam melepaskan kerjaya profesional untuk menjadi pelakon.

Ada ramai lagi contoh terdekat namun kesimpulan yang saya temui adalah sama. Kadang-kadang hidup ini penuh dengan agenda tersendiri, di luar perancangan kita. Bagi saya adalah amat penting untuk lakukan apa yang anda benar-benar suka dan minati. Dalam aspek belajar pula - belajar subjek yang kita minati dalam suasana yang menyeronokkan pasti akan membuahkan hasil yang menakjubkan!

Memang benar pemilihan jurusan di peringkat universiti akan mempengaruhi keputusan kerjaya anda. Namun, trend masa kini agak berlainan. Jika anda boleh buktikan anda ada PAKEJ yang dicari, soal jurusan boleh menjadi perkara kedua.

Faktor pemilihan jurusan di universiti tempatan dipengaruhi 3 faktor: keputusan akademik anda, pencapaian kokurikulum anda serta kuota yang ditawarkan (anda perlu kaji juga aspek ini). 

Oleh itu, sebelum anda membuat pilihan jurusan, dalami minat dan kecenderungan diri anda terlebih dahulu dan bandingkan dengan pelbagai jurusan yang ditawarkan. Buat pilihan bijak kerana berkemungkinan besar anda mempunyai peluang memilih yang terhad.

  • Adakah faktor jurusan yg diambil nanti merupakan faktor utama ramai graduan yg menganggur?
Jawapan saya untuk soalan di atas adalah 'tidak'. Kenapa? Faktor utama graduan menganggur sebenarnya pada sikap. Sikap malu untuk memperbaiki diri dan terlalu asyik di dalam comfort zone mereka sendiri.


Sebagai contoh, dek kerana sikap endah tak endah, ramai yang amat lemah dalam aspek komunikasi walaupun mereka menyedari kemahiran ini adalah ibarat lombong emas pada kaca mata semua majikan.
Jika kita dapat jurusan dan kerjaya yang tepat sekalipun, tanpa sikap yang betul, berkemungkinan besar kerjaya kita tidak bertahan dan kita menjadi tertekan dengan hidup. Jika kita mendapat jurusan bukan pilihan kita pula, dengan sikap sanggup belajar perkara baru, tekun dan sabar, kita akan menemui keseronokan dalam kerjaya baru kita.
Faktor jurusan adalah faktor sampingan yang amat kecil untuk diambilkira sebagai punca graduan menganggur. Sekalipun jurusan itu mungkin tidak sesuai dengan kerjaya yang kita inginkan nanti, apakah tiada cara lain untuk kita tingkatkan nilai dan pakej diri untuk melayakkan kita mendapat kerja tersebut? Saya amat yakin ada.

Tepuk dada, tanya selera. Kita tidak mungkin boleh mengubah satu dunia. Tetapi dengan mengubah dan memperbaiki diri kita, seluruh dunia akan turut berubah.
Aim for success, not perfection. Never give up your right to be wrong, because then you will lose the ability to learn new things and move forward with your life. (Dr. David M. Burns)

Dari meja konsultan,
Read more...

Dari Meja Konsultan: Berbaju kurung ke temuduga – boleh ke?

Salam hormat pembaca sekalian, 

Artikel kali ini saya dedikasikan khas kepada kaum hawa, terutama adik-adik yang bakal menghadiri temuduga pertama. Saya mendapat banyak e-mel dan pertanyaan semasa menjalankan program berkenaan pakaian yang sesuai untuk ke temuduga. Rata-ratanya daripada adik-adik yang baru sahaja tamat pengajian – fresh graduate dan kebanyakan yang bertanya adalah golongan hawa. 

Yang paling menarik, soalan yang paling kerap diajukan kepada saya adalah, “Boleh tak saya pakai baju kurung ke temuduga?” 

50-50, ya dan tidak. 

Saya mempercayai bahawa apa yang kita pilih untuk pakaikan ke badan kita melebihi sekadar sebuah pakaian. Pakaian yang kita pilih mempunyai mesej tersendiri yang cuba kita sampaikan kepada orang lain. Mesej ini jika tidak dipadankan dengan situasi, gerak laku dan gaya pembawaan diri yang sesuai akan menjadi janggal. 

Semasa saya mendalami bidang Professional Image Consulting, saya pernah diberitahu tentang sebuah kata-kata yang berbunyi ‘YOU ARE WHAT YOU WEAR’. 

Jika anda mahu pekerjaan yang profesional, berpakaianlah secara profesional dan paparkan imej serta etika yang profesional. Ini kerana penilaian orang lain terhadap kita semasa temuduga sudah pun bermula hanya dengan memerhati imej kita, tanpa perlu terlebih dahulu berkata-kata. 

Fikirkan jika anda seorang majikan yang bakal menemuduga seorang fresh graduate, imej yang bagaimana pula yang mahu dan tidak mahu anda lihat? Biar saya beri jawapannya. 

Mana-mana majikan sebenarnya sudah mempunyai pandangan tersendiri berkenaan imej yang mahu mereka lihat pada orang yang bakal ditemuduga, apatah lagi terhadap seorang fresh graduate. Paling utama, mereka menjangkakan perkara berikut: 
  • Imej yang profesional, dihormati dan meyakinkan.
  • Bukan imej yang boleh melabelkan anda masih seorang pelajar (walaupun anda baru sahaja habis belajar, penemuduga tetap menjangkakan anda sudah tahu gaya dan tatacara orang yang berkerjaya).
  • Imej yang tidak berlebih-lebihan (warna yang terang, aksesori yang terlampau banyak, wangian yang terlalu kuat, high fashion).

Dengan perkara-perkara yang dinyatakan di atas, adakah dengan berbaju kurung ke temuduga boleh menyerlahkan imej yang dimahukan oleh mana-mana majikan? 

Baju kurung sesuai jika baju kurung anda mempunyai ciri-ciri yang saya panggil ciri-ciri korporat. Maksudnya, bukannya baju kurung yang anda pakai sewaktu mahu ke kuliah atau baju kurung yang anda pakai di pagi raya. Ciri-ciri korporat baju kurung adalah: 
  • Warna cerah (pastel color) dan bukan warna terang. 
  • Gabungan warna yang terdapat pada baju kurung dan tudung tidak harus melebihi 3 warna. 
  • Baju kurung polos (tiada corak), dipadankan dengan tudung bercorak ringkas. 
  • Jika anda memilih baju kurung yang bercorak, pastikan coraknya ringkas – bukan bercorak bunga (pattern) yang besar. 
  • Tidak jarang. 
  • Saiz yang sesuai dengan saiz badan anda – tidak terlalu besar atau terlalu sempit. 

Sukar bukan? Oleh sebab itulah, saya sering menekan kepada adik-adik yang bakal menghadiri temuduga pertama (dan seterusnya) untuk memakai pakaian berikut:

  • Baju kemeja lengan panjang, warna polos (plain color).
  • Padankan dengan blazer berwarna gelap, jika boleh. Anda akan kelihatan lebih baik!
  • Tudung dan aksesori yang berpadanan dan ringkas.
  • Seluar panjang (slack) hitam.
  • Kasut hitam bertutup dan bertumit (pump shoes).

Show the best of you during the interview! Jika anda paparkan imej yang biasa-biasa sahaja, penemuduga/bakal majikan anda boleh fikirkan - itu sahajalah yang terbaik mampu anda lakukan untuk menunjukkan komitmen anda. 

Salam maju jaya! 

Dari meja konsultan,
Read more...

Dari Meja Konsultan: Cara menangani soalan sensitif semasa temuduga

Pembaca yang dihormati,

Dalam artikel sebelum ini, saya telah menulis berkenaan 3 peringkat asas dalam sesuatu proses temuduga. Harus saya ingatkan, temuduga biasanya berlangsung dalam tempoh 45 minit dan boleh mencecah sehingga ke 2 jam, bergantung pada tahap jawatan yang dipohon. 80% masa temuduga akan dihabiskan pada peringkat kedua iaitu peringkat formal. 

Soalan yang ditanyakan kepada anda mestilah berkaitan dengan jawatan yang dipohon dan berkisar tentang tugas yang bakal anda lakukan jika anda berjaya memperoleh jawatan tersebut nanti. Jika terdapat soalan yang menyentuh tentang latar belakang anda, ianya haruslah boleh dikaitkan dengan pekerjaan tersebut juga, seperti pendidikan, pengalaman kerja, penglibatan dan aktiviti serta pencapaian profesional anda sebelum itu.


Seperti mana anda sebagai calon temuduga yang harus mempunyai tatacara dalam menghadapi temuduga, penemuduga juga diberikan garis panduan ketika menjalankan temuduga. Penemuduga tidak boleh bertanyakan soalan yang tiada kaitan dengan jawatan yang dipohon (not job-related questions), soalan-soalan yang sensitif serta soalan yang boleh ditafsirkan sebagai diskriminasi terhadap calon temuduga. Secara asasnya, soalan-soalan kategori sensitif dan menyalahi tatacara temuduga (illegal) adalah soalan-soalan yang menyentuh aspek berikut: 

  • Umur 
  • Bangsa/kaum/etnik
  • Jantina 
  • Status perkahwinan 
  • Tempat asal 
  • Kewarganegaraan 
  • Agama Amalan/perbuatan dalam agama (seperti cara sembahyang, cara perayaan atau sambutan keagamaan) 
  • Politik (kecenderungan politik atau pandangan politik) 
  • Kekurangan anggota/ketidakupayaan (disabilities)

Kebanyakan penemuduga yang sedia maklum bahawa perkara yang dinyatakan di atas adalah sensitif untuk disoalkan semasa temuduga. Walaupun begitu, terdapat juga penemuduga yang masih lagi mahu mengajukan soalan sedemikian. Dalam situasi ini, anda sebagai calon temuduga haruslah menjadi lebih bijak dan matang dalam menanganinya. Jadi, apa yang anda perlu lakukan jika anda ditanyakan soalan sedemikian? 

Stay positive! Jangan terus menganggap soalan tersebut sebagai soalan yang berbaur sensitif dan menuduh penemuduga berniat atau sedang cuba untuk mendiskriminasikan anda. Anda harus sentiasa ingat bahawa setiap soalan yang ditanyakan mempunyai tujuan yang tertentu, di mana tujuan ini mempunyai hubungkait dengan jawatan yang ditawarkan. 

Ketika ini, anda mempunyai hak untuk meminta penemuduga menjelaskan rasional di sebalik pertanyaan tersebut. Gunakan teknik berikut: 

Mohon ulang soalan dengan nada professional, “Maafkan saya, boleh Encik/Cik/Puan ulang kembali soalan sebentar tadi.” Ini bertujuan untuk memastikan penemuduga benar-benar berniat untuk menanyakan soalan yang sama. Ada juga kemungkinan cara soalan itu diajukan yang menjadikannya seolah-olah soalan yang sensitif. 

Jika soalan yang sama diajukan, mohon penjelasan daripada penemuduga tentang kaitan soalan dengan jawatan yang dipohon. Anda mungkin boleh bertanyakan, “Maafkan saya, saya kurang faham bagaimana adanya perkaitan di antara perkara tersebut dengan jawatan yang saya pohon ini. Boleh Encik/Cik/Puan tolong jelaskan?” 

Penemuduga mungkin memberikan penjelasan yang munasabah dan berkaitan dengan pekerjaan. Contohnya, beliau mengaitkan soalan berkenaan status perkahwinan dengan pekerjaan yang memerlukan penjawatnya untuk bertugas di luar kawasan dengan kerap. Ini mungkin menyebabkan penjawat jawatan tersebut jarang boleh bersama dengan keluarga. 

Apabila penemuduga mampu memberikan penjelasan yang baik, soalan yang ditanyakan tidak lagi jatuh pada kategori soalan sensitif atau berbaur diskriminasi. Ketika ini, anda boleh memilih untuk menjawab soalan dengan bijak. Contohnya, jika anda belum berkahwin, anda boleh menyatakan kesediaan anda untuk bertugas di luar kawasan dan berjauhan dengan keluarga. Jika anda sudah berkahwin, mungkin anda boleh mengubah persepsi penemuduga dengan menjelaskan bagaimana status anda tidak akan menjadi isu yang besar untuk menjalankan tugas tersebut. 

Walaubagaimanapun, penemuduga mungkin juga tidak mampu untuk menjelaskan dengan baik perkaitan di antara soalan beliau dan pekerjaan yang ditawarkan. Maka anda berhak untuk tidak menjawab soalan tersebut. Contoh maklumbalas yang anda boleh berikan ialah, “Maafkan saya, saya tidak melihat rasional dan perkaitan di sebalik soalan itu dan jawatan yang saya pohon ini. Saya tidak rasa selesa untuk memberikan jawapan sekarang.” 

Peringatan – penemuduga tidak berhak memaksa anda untuk menjawab soalan yang anda enggan jawab jika ianya tergolong dalam kategori soalan sensitif. Ini kerana temuduga yang baik harus berlangsung dalam keadaan yang profesional, neutral dan selesa untuk kedua-dua pihak. Jika berlaku sebarang paksaan, secara lisan apatah lagi dalam bentuk tingkahlaku (seperti tindakan menghentak meja atau jelingan sinis), anda boleh memilih untuk beredar daripada ruang temuduga secara baik.


Sebagai seorang yang ditemuduga, anda juga harus sedar bahawa bertindak secara bijak dan berlagak pandai adalah dua perkara yang amat berbeza. Tiada majikan yang mahukan calon yang berlagak pandai semasa temuduga. Tetapi jangan pula anda menjadi seorang yang tidak tahu apa-apa sehinggakan mudah untuk orang lain mengambil kesempatan terhadap anda. Sentiasa jadi orang yang sederhana tetapi matang dalam menghadapi cabaran. 

Semoga anda menghadapi  cabaran dengan penuh kematangan!

Dari meja konsultan,
Read more...

Dari Meja Konsultan: Memahami 3 peringkat asas dalam proses temuduga

Pembaca budiman,

Sama seperti ujian yang bakal anda duduki, temuduga juga memerlukan persediaan. Persediaan yang paling utama sebelum temuduga ialah memahami proses yang bakal anda hadapi semasa temuduga itu nanti. Jangan sesekali datang ke temuduga tidak bersedia. Ini umpama anda sedang ‘mengkhianati’ peluang yang diberikan kepada anda. Bayangkan menduduki ujian tanpa bersedia langsung. Anda sudah pasti boleh menjangkakan keputusan yang bakal anda perolehi. 

Sebuah temuduga boleh dipecahkan kepada tiga peringkat utama iaitu:


Peringkat pengenalan/intro 

Peringkat ini berlaku sebaik sahaja anda mula berkomunikasi dengan panel temuduga. Namun soalan yang ditanyakan belum lagi menyentuh aspek pekerjaan yang ditawarkan. Ianya lebih kepada sesi ramah tamah atau perbualan tidak rasmi yang bertujuan untuk membolehkan anda rasa selesa dan kurang gemuruh. Kebiasaannya soalan yang diajukan adalah penyataan atau soalan yang mudah seperti ‘Bagaimana perjalanan anda ke mari tadi?’, ‘Awak kelihatan teruja sekali pada pagi ini!’ atau ‘Sukarkah untuk mencari tempat ini?’ 

Peringkat formal 

Ketika ini nada temuduga akan bertukar lebih serius berbanding semasa peringkat pengenalan tadi. Kesemua soalan yang diajukan adalah lebih terarah kepada latar belakang anda dalam aspek pelajaran, penglibatan dan keupayaan anda dalam menjalankan jawatan yang ditawarkan. Penemuduga juga mungkin akan memberikan gambaran tentang tanggungjawab dan tugas pada jawatan yang ditawarkan itu. Penemuduga akan bertanyakan soalan yang membolehkan mereka ‘mengesan’ sama ada anda sesuai dengan jawatan yang anda pohon. Soalan-soalan yang ditanyakan pada peringkat ini kebiasaannya soalan yang boleh dijangkakan. Cuma gaya pertanyaan sahaja yang mungkin berbeza, bergantung kepada penemuduga anda. Perkara utama yang akan harus anda ingat adalah kesemua soalan haruslah berhubungkait secara langsung dengan jawatan yang ditawarkan. Ini dipanggil job-related questions. 

Peringkat penutup 

Peringkat ini bermula apabila penemuduga memberikan ‘petanda’ bahawa temuduga akan berakhir. Kebiasaanya penemuduga akan memberikan anda peluang untuk bertanyakan sebarang soalan yang anda fikir perlu. Ramai yang tidak bertanyakan soalan semasa peringkat penutup dan beredar daripada temuduga begitu sahaja. Seringkali saya menekan kepada peserta Career Coaching Programme kendalian saya bahawa peluang di peringkat penutup temuduga ini harus digunakan dengan bijak oleh sesiapapun yang menghadiri temuduga. Inilah peluang terakhir anda untuk mengagumkan (impress) penemuduga tersebut. 

Kini, proses temuduga telah menjadi lebih dinamik dan kreatif. Jangan terkejut apabila penemuduga meminta anda untuk melukis peta minda tentang diri anda serta latar belakang anda. Anda juga mungkin diminta untuk menjalani ujian-ujian ringkas seperti ujian IQ dan personaliti. Kesemuanya bergantung dengan jenis pekerjaan dan industri syarikat tersebut. Ini mungkin cara penemuduga tersebut memenuhi peringkat formal dalam proses temuduga berkenaan. 

Semoga berjaya. 

Dari meja konsultan,
Read more...

Dari Meja Konsultan: Nilai sebuah temuduga daripada kaca mata majikan

Salam hormat pembaca budiman, 

Kadangkala untuk memahami sesuatu dengan lebih jelas, kita perlu melihat daripada sudut yang berbeza. Begitu juga halnya dengan sesuatu proses temuduga. Bagi seseorang yang datang ke temuduga, ianya proses untuk mendapatkan satu pekerjaan yang menjadi punca kewangan. Bagi majikan pula, ianya proses mencari seseorang yang bakal menjadi sebahagian daripada syarikat, orang yang menjayakan misi dan visi syarikat dan yang paling utama, orang yang menguntungkan syarikat. 


Jika kita melihat melalui perspektif majikan, proses temuduga melibatkan kos kewangan dan masa yang bukan sedikit. Oleh sebab itu, setelah calon yang sesuai dipilih, majikan akan menjangkakan penjawat jawatan tersebut mampu bertahan lama. 

Namun begitu, bertahan atau tidak seseorang pada jawatan yang disandang bukanlah sesuatu yang dapat ditentukan dengan pasti oleh pihak majikan. Banyak faktor yang mempengaruhinya. Beliau perlu mempunyai empat ciri-ciri utama semasa bekerja: 

  • Tangkas dalam memahami selok-belok jawatan dan tugas 
  • Mampu menjalankan tugas dengan baik, samaada tugas individu atau tugas berkumpulan 
  • Mudah menyesuaikan diri dengan budaya kerja majikan 
  • Bijak bergaul dengan rakan-rakan di tempat kerja 

Tanpa kesemua padanan ini, agak sukar untuk beliau bekerja dengan sempurna dan bertahan lama di majikan berkenaan. Oleh yang demikian, pemilihan calon semasa temuduga adalah kritikal bagi mana-mana majikan. Jika majikan dapat mengesan seseorang yang mempunyai ciri-ciri yang diperlukan semasa temuduga dijalankan, maka kebarangkalian untuk calon yang terpilih itu bertahan lama adalah tinggi. 

Secara ringkas, pemilihan yang tepat akan menguntungkan kedua-dua pihak – majikan akan mendapat pekerja baru yang berpotensi tinggi dan calon pula bakal menjawat jawatan yang diidamkan. Untuk memenuhi keperluan ini, ramai majikan bersama penemuduga (atau pegawai Jabatan Sumber Manusia) yang dipertanggungjawabkan membentuk teknik serta kaedah yang mempunyai satu tujuan utama – mengenalpasti calon temuduga yang berkualiti dalam menjalankan tugas dan berpotensi untuk bertahan lama di syarikat. 

Bergantung kepada jenis jawatan dan industri, teknik dan kaedah berikut adalah antara yang diaplikasikan semasa temuduga ialah: 

  • Soal Selidik Personaliti (Personality Questionnaires) 
  • Ujian Kebolehan/Aptitud (Ability/Aptitude Test) 
  • Ujian IQ (IQ Test) 
  • Penilaian Kemahiran Pembentangan (Presentation Skills Assessment) 
  • Ujian Sampel Tugas (Work Sample Test) 
  • Latihan In-Tray (In-Tray Exercise) 

Oleh itu, jika anda melangkah ke temuduga, selain daripada sesi soal dan jawab yang biasa, anda juga harus menjangkakan satu atau dua penilaian yang akan dilakukan terhadap anda. 


Namun demikian, penilaian sebegini bukanlah seperti ujian yang anda pernah lalui di sekolah atau universiti. Tiada jawapan yang betul ataupun salah. Lebih utama, ujian ini memberikan majikan gambaran tentang sejauh mana kebolehan dan kemahiran anda dalam melakukan tugas. 

Semoga berjaya!

Dari meja konsultan,

NOTA: Baru-baru ini saya berpeluang menyertai sebuah program khas yang mendedahkan teknik pemilihan calon semasa temuduga. Program yang khusus disasarkan untuk penemuduga bertauliah ini memaklumkan teknik terbaru yang direka untuk menilai calon temuduga dengan lebih praktikal dan efektif.
Read more...

TERUJA! ~ EXCITED!



Bayangkan anda bercadang mahu bercuti. Sebaik sahaja idea itu muncul, anda mula membuat perancangan: lokasi percutian, bajet anda, tempat tinggal, kenderaan untuk sampai ke lokasi, teman yang akan bersama bercuti, tempat-tempat menarik yang akan dilawati dan seumpamanya.

Mungkin juga anda punya teman yang dikenali di lokasi percutian itu, lantas anda menghubungi beliau untuk menyusun program percutian anda. Oleh sebab beliau lebih arif tentang tempat yang anda ingin tuju, lebih mudah dan menjimatkan masa. Tidaklah anda tercari-cari atau sesat semasa percutian nanti.

Anda juga membuat persediaan jika terjadi perkara yang tidak diingini. Maklumlah, malang tidak berbau. Anda menyiapkan bekalan ubat peribadi dan memaklumkan percutian anda kepada keluarga terdekat. Malah anda juga bertindak bijak membeli travel insurance memandangkan percutian anda kali ini agak lama tempohnya.

Sudah pasti, anda juga rasa TERUJA! Apatah lagi jika ini percutian pertama anda setelah sekian lama. You cannot seem to stop talking about this holiday plan with your friends, looking over the internet and searching for places of interest at your holiday destination. Wow... YOU ARE TRULY EXCITED!

Looking for your first job is a lot similar to going for a holiday. You need plans, you need to know what you want to do, what kind of job you want, what kind of company you wish to work with. You also need to know who to contact and you need to prepare yourself for the job interview. Most importantly, you need to get EXCITED!

Tetapi ramai siswazah, graduan dan mereka yang pertama kali mencari pekerjaan mempunyai kekurangan pada aspek 'keterujaan' ini. Saya pernah berbual dengan beberapa sahabat yang saya kenali yang sedang mencari pekerjaan dan menemui dua jenis perbualan yang berbeza pada mereka. Soalan saya pada mereka adalah, "Macam mana dengan proses cari kerja awak? Anything positive?".

Perhatikan jawapan kedua-duanya:

Sahabat A: Dah banyak saya hantar resume, respon dapat daripada beberapa company je.. Pergi interview dah dua kali, lepas tu senyap. Tak tahu lagi dapat ke tidak? Memang akan ambil masa ke nak bagi jawapan? Tension betul menunggu jawapan ni. Hmmm... Entahlah.. Tengoklah macam mana nanti.. Boleh akak tolong saya?

Sahabat B: Saya dah kenalpasti beberapa company, saya dah hantar resume dan dapat satu panggilan temuduga. Menarik juga proses temuduga ni ya? Banyak saya pelajari walaupun baru pergi satu interview. Lepas ni kalau dipanggil interview lagi, saya dah ada idea bagaimana prosedur interview tu. Saya nak improve resume saya, boleh akak bantu?

Sangat berbeza kan? Jika anda adalah saya, siapa yang akan anda bantu dengan senang hati? Jika anda adalah majikan, siapa yang akan anda ambil bekerja? Sudah pasti sahabat B. Kenapa? Keterujaannya melambangkan betapa beliau seorang yang positif. Keterujaannya menyenangkan.

Mencari pekerjaan adalah satu proses, sudah pasti proses kadangkala berjaya dan kadangkala tidak. You need other plans if things are not going as you wish, just like planning for the holiday.

Sayangnya, ramai orang tidak teruja dan tidak mempunyai perancangan sebelum mencari pekerjaan. Samalah seperti memandu tanpa arah tujuan, tanpa mengetahui amaun minyak kereta, tanpa membuat apa-apa persediaan. Bila sesat atau kehabisan minyak, mula rasa tertekan, tidak tahu apa yang mahu dilakukan.

Jika anda tidak berhasil pada beberapa permohonan awal, itu tandanya anda perlu perbaiki beberapa perkara - mungkin resume anda, cara anda berinteraksi atau mungkin penampilan anda. You should be happy because you have prepared for the worst. NOW you have another chance to improve and better chance to get the job you want!

Pendek kata, LET'S GET EXCITED TO GET THE CAREER YOU WANT!

Nota: Excited dan over-excited adalah dua perkara yang SANGAT BERBEZA ;)
Read more...