Pages

 

Dari Meja Konsultan: Cara menangani soalan sensitif semasa temuduga

Pembaca yang dihormati,

Dalam artikel sebelum ini, saya telah menulis berkenaan 3 peringkat asas dalam sesuatu proses temuduga. Harus saya ingatkan, temuduga biasanya berlangsung dalam tempoh 45 minit dan boleh mencecah sehingga ke 2 jam, bergantung pada tahap jawatan yang dipohon. 80% masa temuduga akan dihabiskan pada peringkat kedua iaitu peringkat formal. 

Soalan yang ditanyakan kepada anda mestilah berkaitan dengan jawatan yang dipohon dan berkisar tentang tugas yang bakal anda lakukan jika anda berjaya memperoleh jawatan tersebut nanti. Jika terdapat soalan yang menyentuh tentang latar belakang anda, ianya haruslah boleh dikaitkan dengan pekerjaan tersebut juga, seperti pendidikan, pengalaman kerja, penglibatan dan aktiviti serta pencapaian profesional anda sebelum itu.


Seperti mana anda sebagai calon temuduga yang harus mempunyai tatacara dalam menghadapi temuduga, penemuduga juga diberikan garis panduan ketika menjalankan temuduga. Penemuduga tidak boleh bertanyakan soalan yang tiada kaitan dengan jawatan yang dipohon (not job-related questions), soalan-soalan yang sensitif serta soalan yang boleh ditafsirkan sebagai diskriminasi terhadap calon temuduga. Secara asasnya, soalan-soalan kategori sensitif dan menyalahi tatacara temuduga (illegal) adalah soalan-soalan yang menyentuh aspek berikut: 

  • Umur 
  • Bangsa/kaum/etnik
  • Jantina 
  • Status perkahwinan 
  • Tempat asal 
  • Kewarganegaraan 
  • Agama Amalan/perbuatan dalam agama (seperti cara sembahyang, cara perayaan atau sambutan keagamaan) 
  • Politik (kecenderungan politik atau pandangan politik) 
  • Kekurangan anggota/ketidakupayaan (disabilities)

Kebanyakan penemuduga yang sedia maklum bahawa perkara yang dinyatakan di atas adalah sensitif untuk disoalkan semasa temuduga. Walaupun begitu, terdapat juga penemuduga yang masih lagi mahu mengajukan soalan sedemikian. Dalam situasi ini, anda sebagai calon temuduga haruslah menjadi lebih bijak dan matang dalam menanganinya. Jadi, apa yang anda perlu lakukan jika anda ditanyakan soalan sedemikian? 

Stay positive! Jangan terus menganggap soalan tersebut sebagai soalan yang berbaur sensitif dan menuduh penemuduga berniat atau sedang cuba untuk mendiskriminasikan anda. Anda harus sentiasa ingat bahawa setiap soalan yang ditanyakan mempunyai tujuan yang tertentu, di mana tujuan ini mempunyai hubungkait dengan jawatan yang ditawarkan. 

Ketika ini, anda mempunyai hak untuk meminta penemuduga menjelaskan rasional di sebalik pertanyaan tersebut. Gunakan teknik berikut: 

Mohon ulang soalan dengan nada professional, “Maafkan saya, boleh Encik/Cik/Puan ulang kembali soalan sebentar tadi.” Ini bertujuan untuk memastikan penemuduga benar-benar berniat untuk menanyakan soalan yang sama. Ada juga kemungkinan cara soalan itu diajukan yang menjadikannya seolah-olah soalan yang sensitif. 

Jika soalan yang sama diajukan, mohon penjelasan daripada penemuduga tentang kaitan soalan dengan jawatan yang dipohon. Anda mungkin boleh bertanyakan, “Maafkan saya, saya kurang faham bagaimana adanya perkaitan di antara perkara tersebut dengan jawatan yang saya pohon ini. Boleh Encik/Cik/Puan tolong jelaskan?” 

Penemuduga mungkin memberikan penjelasan yang munasabah dan berkaitan dengan pekerjaan. Contohnya, beliau mengaitkan soalan berkenaan status perkahwinan dengan pekerjaan yang memerlukan penjawatnya untuk bertugas di luar kawasan dengan kerap. Ini mungkin menyebabkan penjawat jawatan tersebut jarang boleh bersama dengan keluarga. 

Apabila penemuduga mampu memberikan penjelasan yang baik, soalan yang ditanyakan tidak lagi jatuh pada kategori soalan sensitif atau berbaur diskriminasi. Ketika ini, anda boleh memilih untuk menjawab soalan dengan bijak. Contohnya, jika anda belum berkahwin, anda boleh menyatakan kesediaan anda untuk bertugas di luar kawasan dan berjauhan dengan keluarga. Jika anda sudah berkahwin, mungkin anda boleh mengubah persepsi penemuduga dengan menjelaskan bagaimana status anda tidak akan menjadi isu yang besar untuk menjalankan tugas tersebut. 

Walaubagaimanapun, penemuduga mungkin juga tidak mampu untuk menjelaskan dengan baik perkaitan di antara soalan beliau dan pekerjaan yang ditawarkan. Maka anda berhak untuk tidak menjawab soalan tersebut. Contoh maklumbalas yang anda boleh berikan ialah, “Maafkan saya, saya tidak melihat rasional dan perkaitan di sebalik soalan itu dan jawatan yang saya pohon ini. Saya tidak rasa selesa untuk memberikan jawapan sekarang.” 

Peringatan – penemuduga tidak berhak memaksa anda untuk menjawab soalan yang anda enggan jawab jika ianya tergolong dalam kategori soalan sensitif. Ini kerana temuduga yang baik harus berlangsung dalam keadaan yang profesional, neutral dan selesa untuk kedua-dua pihak. Jika berlaku sebarang paksaan, secara lisan apatah lagi dalam bentuk tingkahlaku (seperti tindakan menghentak meja atau jelingan sinis), anda boleh memilih untuk beredar daripada ruang temuduga secara baik.


Sebagai seorang yang ditemuduga, anda juga harus sedar bahawa bertindak secara bijak dan berlagak pandai adalah dua perkara yang amat berbeza. Tiada majikan yang mahukan calon yang berlagak pandai semasa temuduga. Tetapi jangan pula anda menjadi seorang yang tidak tahu apa-apa sehinggakan mudah untuk orang lain mengambil kesempatan terhadap anda. Sentiasa jadi orang yang sederhana tetapi matang dalam menghadapi cabaran. 

Semoga anda menghadapi  cabaran dengan penuh kematangan!

Dari meja konsultan,