Sama seperti ujian yang bakal anda duduki, temuduga juga memerlukan persediaan. Persediaan yang paling utama sebelum temuduga ialah memahami proses yang bakal anda hadapi semasa temuduga itu nanti. Jangan sesekali datang ke temuduga tidak bersedia. Ini umpama anda sedang ‘mengkhianati’ peluang yang diberikan kepada anda. Bayangkan menduduki ujian tanpa bersedia langsung. Anda sudah pasti boleh menjangkakan keputusan yang bakal anda perolehi.
Sebuah temuduga boleh dipecahkan kepada tiga peringkat utama iaitu:
Peringkat pengenalan/intro
Peringkat ini berlaku sebaik sahaja anda mula berkomunikasi dengan panel temuduga. Namun soalan yang ditanyakan belum lagi menyentuh aspek pekerjaan yang ditawarkan. Ianya lebih kepada sesi ramah tamah atau perbualan tidak rasmi yang bertujuan untuk membolehkan anda rasa selesa dan kurang gemuruh. Kebiasaannya soalan yang diajukan adalah penyataan atau soalan yang mudah seperti ‘Bagaimana perjalanan anda ke mari tadi?’, ‘Awak kelihatan teruja sekali pada pagi ini!’ atau ‘Sukarkah untuk mencari tempat ini?’
Peringkat formal
Ketika ini nada temuduga akan bertukar lebih serius berbanding semasa peringkat pengenalan tadi. Kesemua soalan yang diajukan adalah lebih terarah kepada latar belakang anda dalam aspek pelajaran, penglibatan dan keupayaan anda dalam menjalankan jawatan yang ditawarkan. Penemuduga juga mungkin akan memberikan gambaran tentang tanggungjawab dan tugas pada jawatan yang ditawarkan itu. Penemuduga akan bertanyakan soalan yang membolehkan mereka ‘mengesan’ sama ada anda sesuai dengan jawatan yang anda pohon. Soalan-soalan yang ditanyakan pada peringkat ini kebiasaannya soalan yang boleh dijangkakan. Cuma gaya pertanyaan sahaja yang mungkin berbeza, bergantung kepada penemuduga anda. Perkara utama yang akan harus anda ingat adalah kesemua soalan haruslah berhubungkait secara langsung dengan jawatan yang ditawarkan. Ini dipanggil job-related questions.
Peringkat penutup
Peringkat ini bermula apabila penemuduga memberikan ‘petanda’ bahawa temuduga akan berakhir. Kebiasaanya penemuduga akan memberikan anda peluang untuk bertanyakan sebarang soalan yang anda fikir perlu. Ramai yang tidak bertanyakan soalan semasa peringkat penutup dan beredar daripada temuduga begitu sahaja. Seringkali saya menekan kepada peserta Career Coaching Programme kendalian saya bahawa peluang di peringkat penutup temuduga ini harus digunakan dengan bijak oleh sesiapapun yang menghadiri temuduga. Inilah peluang terakhir anda untuk mengagumkan (impress) penemuduga tersebut.
Kini, proses temuduga telah menjadi lebih dinamik dan kreatif. Jangan terkejut apabila penemuduga meminta anda untuk melukis peta minda tentang diri anda serta latar belakang anda. Anda juga mungkin diminta untuk menjalani ujian-ujian ringkas seperti ujian IQ dan personaliti. Kesemuanya bergantung dengan jenis pekerjaan dan industri syarikat tersebut. Ini mungkin cara penemuduga tersebut memenuhi peringkat formal dalam proses temuduga berkenaan.
Semoga berjaya.
Dari meja konsultan,