Pages

 
Showing posts with label Soalan Semasa Temuduga. Show all posts
Showing posts with label Soalan Semasa Temuduga. Show all posts

Bengkel Persiapan ke Temuduga dan Mock-interview: MRSM Transkrian, Pulau Pinang


Tim Career Cube bersama dengan 148 orang pelajar tingkatan 5 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Transkrian, Pulau Pinang selama 2 hari. Hari pertama, para peserta berbengkel bersama kami dari pagi hinggalah ke petang. Para peserta didedahkan dengan persediaan sebelum menghadapi sesi temuduga untuk mendapatkan biasiswa dan pinjaman pelajaran.

Program kali ini sungguh menarik dan seronok di mana, kesemua 148 orang pelajar ini ditemuduga secara berkumpulan oleh tim Career Cube. Sesi temuduga dijalankan secara berkumpulan, 2 panel penemuduga dan setiap kumpulan terdiri daripada 5 orang pelajar.

Kesemua kemahiran yang dilatih di dalam bengkel terus dipraktikkan oleh para peserta. Antaranya,
  •          Membawa beg tangan ke temuduga untuk calon wanita
  •          Penyusunan sijil di dalam fail yang mengikut penceritaan resume
  •          Memulakan sesi pertemuan dengan sapaan hormat dan tatacara bersalam yang betul
  •          Menjawab soalan sensitive yang diajukan dengan berhemah
  •          Fokus kepada kelebihan dan kemahiran diri sepanjang temuduga

Para peserta dinilai berdasarkan kepada penampilan diri, interpersonal, kemahiran, dan kebolehan tersendiri di dalam menyatakan sudut pandang. Keseluruhan penilaian, para peserta dikategorikan kepada 3 kategori:
  •          Memuaskan (Satisfactory)
  •          Baik (Good)
  •          Cemerlang (Excellent)







Untuk melihat lebih banyak gambar, lawati FBCareer Cube kami.
Read more...

Dari Meja Konsultan: Menghafal bukan caranya

Salam hormat,

Seringkali ketika saya mengendalikan program, peserta akan bertanya, "Apakah soalan yang paling kerap ditanya oleh penemuduga dan apakah jawapan yang paling tepat?". Anda juga mungkin berminat pada soalan-soalan ini bukan? Apatah lagi jika anda fresh grad yang akan menghadiri temuduga kerja pertama anda.

Tiada jawapan yang standard
Saya boleh berikan anda senarai soalan yang mungkin akan ditanya kepada fresh grad dan teknik untuk menjawab soalannya seperti di sini. Namun ini pun sekadar panduan. Setiap tawaran untuk jawatan yang berbeza, daripada syarikat yang berbeza akan memungkinkan jawapan yang berbeza. 

Apatah lagi apabila terdapat pelbagai pengalaman dan penglibatan pada setiap calon. Adapun mungkin pengalaman dan penglibatan yang dilalui sama/hampir sama, kesannya pada perkembangan kemahiran dan mental setiap individu pasti ada kelainan.

Gambar hiasan.
Tidak perlu cuba untuk menghafal
Ini bukan ujian menghafal seperti di sekolah. Seperti yang saya tekankan tadi, tiada jawapan yang standard. Jadi tidak perlulah menghafal jawapan kepada soalan 'ramalan' temuduga tersebut, mengetahui corak soalannya sudah memadai. Kedegilan anda untuk terus berbuat demikian hanya akan menjadikan anda seperti answering machine. Dan saya pasti, tiada majikan yang mahu mengambil 'mesin' bekerja. Mereka mahukan manusia - boleh berdikari, boleh bekerjasama, fleksibel dan cepat belajar walaupun dalam keadaan tekanan kerja yang berbeza-beza.

Jadi buktikanlah anda 'orang' yang mereka cari selama ini. Untuk buktikannya, anda perlu berikan reaksi bijak kepada soalan yang ditanyakan, bukan memberi jawapan yang sama seperti orang lain.

Homework masih diperlukan
Walaupun temuduga bukan seperti ujian di sekolah, kunci kejayaannya tetap sama. Anda perlu buat kerja rumah anda dan lakukan ulangkaji! Jika anda menerima panggilan yang memaklumkan anda berjaya mendapat tempat ke sesi temuduga, segera mulakan research anda.
 
Pergi ke website syarikat tersebut dan dapatkan data yang penting - apakah produk atau servis yang ditawarkan oleh syarikat tersebut? Fahami prinsip perniagaan syarikat dan kelebihan produk/servis yang ditawarkan. Untuk memastikan anda tidak ketinggalan, update diri anda dengan inisiatif terbaru syarikat berkenaan. 

Anda mesti baca bahagian berita (news) kerana kebiasaannya terdapat keratan akhbar berkaitan perkembangan terbaru syarikat yang dikumpul di bahagian ini. Kaji dan ketahui juga peranan yang akan anda lakukan jika anda mendapat jawatan itu nanti.

Kesilapan ramai calon temuduga, terutama mereka yang pertama kali hadir ke temuduga ialah mereka terlalu asyik menyiapkan diri, menghafal soalan dan jawapan tetapi mengabaikan persediaan pengetahuan mereka tentang syarikat.

Percayalah, bakal majikan tidak mahu mengambil bekerja seseorang yang zero knowledge tentang syarikat.

Review semula diri anda
Ambil sedikit masa beberapa hari sebelum temuduga untuk mendalami diri anda semula. Baca semula resume yang telah anda tulis dan fikirkan tiga perkara ini:
  • Apakah aset anda (latar belakang, pengalaman, kemahiran, kekuatan atau pengetahuan) yang paling diperlukan dalam jawatan yang ditawarkan?
  • Bagaimana kehadiran anda boleh mengubah/mengembangkan fungsi dan peranan jawatan tersebut?
  • Bagaimana anda boleh menguntungkan syarikat (secara langsung atau tidak langsung)?

Sediakan slides
Temuduga akan jadi lebih mudah dan menyeronokkan jika anda bersiap sedia. Persiapan adalah asas kejayaan. Menggunakan semua perkara yang saya telah nyatakan dan selepas kajian dan homework yang jitu, saya sarankan anda sediakan powerpoint slides (dalam bentuk points, bukan karangan) yang tidak melebihi 10 slides kesemuanya.

Tayangkan slides ini kepada diri anda sekurang-kurangnya 10 kali sehingga anda boleh bayangkan anda melalui temuduga dengan jayanya sejak dari anda melangkah masuk sehingga akhir temuduga. Bukan menghafal ya! Tujuan slides ini disediakan agar anda mempunyai panduan dan bersedia dengan lebih rapi. Ia juga melatih gaya komunikasi anda, tona suara anda dan nada keyakinan anda. Practice makes perfect!

Cuma satu pesanan terakhir saya, jangan pula anda cetak slides anda dan bawa ke temuduga kerana temuduga bukan seperti ujian di sekolah. Ingat: tiada jawapan standard dan jangan cuba menghafal.

Dari meja konsultan,
Read more...

Dari Meja Konsultan: Cara menangani soalan sensitif semasa temuduga

Pembaca yang dihormati,

Dalam artikel sebelum ini, saya telah menulis berkenaan 3 peringkat asas dalam sesuatu proses temuduga. Harus saya ingatkan, temuduga biasanya berlangsung dalam tempoh 45 minit dan boleh mencecah sehingga ke 2 jam, bergantung pada tahap jawatan yang dipohon. 80% masa temuduga akan dihabiskan pada peringkat kedua iaitu peringkat formal. 

Soalan yang ditanyakan kepada anda mestilah berkaitan dengan jawatan yang dipohon dan berkisar tentang tugas yang bakal anda lakukan jika anda berjaya memperoleh jawatan tersebut nanti. Jika terdapat soalan yang menyentuh tentang latar belakang anda, ianya haruslah boleh dikaitkan dengan pekerjaan tersebut juga, seperti pendidikan, pengalaman kerja, penglibatan dan aktiviti serta pencapaian profesional anda sebelum itu.


Seperti mana anda sebagai calon temuduga yang harus mempunyai tatacara dalam menghadapi temuduga, penemuduga juga diberikan garis panduan ketika menjalankan temuduga. Penemuduga tidak boleh bertanyakan soalan yang tiada kaitan dengan jawatan yang dipohon (not job-related questions), soalan-soalan yang sensitif serta soalan yang boleh ditafsirkan sebagai diskriminasi terhadap calon temuduga. Secara asasnya, soalan-soalan kategori sensitif dan menyalahi tatacara temuduga (illegal) adalah soalan-soalan yang menyentuh aspek berikut: 

  • Umur 
  • Bangsa/kaum/etnik
  • Jantina 
  • Status perkahwinan 
  • Tempat asal 
  • Kewarganegaraan 
  • Agama Amalan/perbuatan dalam agama (seperti cara sembahyang, cara perayaan atau sambutan keagamaan) 
  • Politik (kecenderungan politik atau pandangan politik) 
  • Kekurangan anggota/ketidakupayaan (disabilities)

Kebanyakan penemuduga yang sedia maklum bahawa perkara yang dinyatakan di atas adalah sensitif untuk disoalkan semasa temuduga. Walaupun begitu, terdapat juga penemuduga yang masih lagi mahu mengajukan soalan sedemikian. Dalam situasi ini, anda sebagai calon temuduga haruslah menjadi lebih bijak dan matang dalam menanganinya. Jadi, apa yang anda perlu lakukan jika anda ditanyakan soalan sedemikian? 

Stay positive! Jangan terus menganggap soalan tersebut sebagai soalan yang berbaur sensitif dan menuduh penemuduga berniat atau sedang cuba untuk mendiskriminasikan anda. Anda harus sentiasa ingat bahawa setiap soalan yang ditanyakan mempunyai tujuan yang tertentu, di mana tujuan ini mempunyai hubungkait dengan jawatan yang ditawarkan. 

Ketika ini, anda mempunyai hak untuk meminta penemuduga menjelaskan rasional di sebalik pertanyaan tersebut. Gunakan teknik berikut: 

Mohon ulang soalan dengan nada professional, “Maafkan saya, boleh Encik/Cik/Puan ulang kembali soalan sebentar tadi.” Ini bertujuan untuk memastikan penemuduga benar-benar berniat untuk menanyakan soalan yang sama. Ada juga kemungkinan cara soalan itu diajukan yang menjadikannya seolah-olah soalan yang sensitif. 

Jika soalan yang sama diajukan, mohon penjelasan daripada penemuduga tentang kaitan soalan dengan jawatan yang dipohon. Anda mungkin boleh bertanyakan, “Maafkan saya, saya kurang faham bagaimana adanya perkaitan di antara perkara tersebut dengan jawatan yang saya pohon ini. Boleh Encik/Cik/Puan tolong jelaskan?” 

Penemuduga mungkin memberikan penjelasan yang munasabah dan berkaitan dengan pekerjaan. Contohnya, beliau mengaitkan soalan berkenaan status perkahwinan dengan pekerjaan yang memerlukan penjawatnya untuk bertugas di luar kawasan dengan kerap. Ini mungkin menyebabkan penjawat jawatan tersebut jarang boleh bersama dengan keluarga. 

Apabila penemuduga mampu memberikan penjelasan yang baik, soalan yang ditanyakan tidak lagi jatuh pada kategori soalan sensitif atau berbaur diskriminasi. Ketika ini, anda boleh memilih untuk menjawab soalan dengan bijak. Contohnya, jika anda belum berkahwin, anda boleh menyatakan kesediaan anda untuk bertugas di luar kawasan dan berjauhan dengan keluarga. Jika anda sudah berkahwin, mungkin anda boleh mengubah persepsi penemuduga dengan menjelaskan bagaimana status anda tidak akan menjadi isu yang besar untuk menjalankan tugas tersebut. 

Walaubagaimanapun, penemuduga mungkin juga tidak mampu untuk menjelaskan dengan baik perkaitan di antara soalan beliau dan pekerjaan yang ditawarkan. Maka anda berhak untuk tidak menjawab soalan tersebut. Contoh maklumbalas yang anda boleh berikan ialah, “Maafkan saya, saya tidak melihat rasional dan perkaitan di sebalik soalan itu dan jawatan yang saya pohon ini. Saya tidak rasa selesa untuk memberikan jawapan sekarang.” 

Peringatan – penemuduga tidak berhak memaksa anda untuk menjawab soalan yang anda enggan jawab jika ianya tergolong dalam kategori soalan sensitif. Ini kerana temuduga yang baik harus berlangsung dalam keadaan yang profesional, neutral dan selesa untuk kedua-dua pihak. Jika berlaku sebarang paksaan, secara lisan apatah lagi dalam bentuk tingkahlaku (seperti tindakan menghentak meja atau jelingan sinis), anda boleh memilih untuk beredar daripada ruang temuduga secara baik.


Sebagai seorang yang ditemuduga, anda juga harus sedar bahawa bertindak secara bijak dan berlagak pandai adalah dua perkara yang amat berbeza. Tiada majikan yang mahukan calon yang berlagak pandai semasa temuduga. Tetapi jangan pula anda menjadi seorang yang tidak tahu apa-apa sehinggakan mudah untuk orang lain mengambil kesempatan terhadap anda. Sentiasa jadi orang yang sederhana tetapi matang dalam menghadapi cabaran. 

Semoga anda menghadapi  cabaran dengan penuh kematangan!

Dari meja konsultan,
Read more...