Pages

 

Dari Meja Konsultan: Nilai sebuah temuduga daripada kaca mata majikan

Salam hormat pembaca budiman, 

Kadangkala untuk memahami sesuatu dengan lebih jelas, kita perlu melihat daripada sudut yang berbeza. Begitu juga halnya dengan sesuatu proses temuduga. Bagi seseorang yang datang ke temuduga, ianya proses untuk mendapatkan satu pekerjaan yang menjadi punca kewangan. Bagi majikan pula, ianya proses mencari seseorang yang bakal menjadi sebahagian daripada syarikat, orang yang menjayakan misi dan visi syarikat dan yang paling utama, orang yang menguntungkan syarikat. 


Jika kita melihat melalui perspektif majikan, proses temuduga melibatkan kos kewangan dan masa yang bukan sedikit. Oleh sebab itu, setelah calon yang sesuai dipilih, majikan akan menjangkakan penjawat jawatan tersebut mampu bertahan lama. 

Namun begitu, bertahan atau tidak seseorang pada jawatan yang disandang bukanlah sesuatu yang dapat ditentukan dengan pasti oleh pihak majikan. Banyak faktor yang mempengaruhinya. Beliau perlu mempunyai empat ciri-ciri utama semasa bekerja: 

  • Tangkas dalam memahami selok-belok jawatan dan tugas 
  • Mampu menjalankan tugas dengan baik, samaada tugas individu atau tugas berkumpulan 
  • Mudah menyesuaikan diri dengan budaya kerja majikan 
  • Bijak bergaul dengan rakan-rakan di tempat kerja 

Tanpa kesemua padanan ini, agak sukar untuk beliau bekerja dengan sempurna dan bertahan lama di majikan berkenaan. Oleh yang demikian, pemilihan calon semasa temuduga adalah kritikal bagi mana-mana majikan. Jika majikan dapat mengesan seseorang yang mempunyai ciri-ciri yang diperlukan semasa temuduga dijalankan, maka kebarangkalian untuk calon yang terpilih itu bertahan lama adalah tinggi. 

Secara ringkas, pemilihan yang tepat akan menguntungkan kedua-dua pihak – majikan akan mendapat pekerja baru yang berpotensi tinggi dan calon pula bakal menjawat jawatan yang diidamkan. Untuk memenuhi keperluan ini, ramai majikan bersama penemuduga (atau pegawai Jabatan Sumber Manusia) yang dipertanggungjawabkan membentuk teknik serta kaedah yang mempunyai satu tujuan utama – mengenalpasti calon temuduga yang berkualiti dalam menjalankan tugas dan berpotensi untuk bertahan lama di syarikat. 

Bergantung kepada jenis jawatan dan industri, teknik dan kaedah berikut adalah antara yang diaplikasikan semasa temuduga ialah: 

  • Soal Selidik Personaliti (Personality Questionnaires) 
  • Ujian Kebolehan/Aptitud (Ability/Aptitude Test) 
  • Ujian IQ (IQ Test) 
  • Penilaian Kemahiran Pembentangan (Presentation Skills Assessment) 
  • Ujian Sampel Tugas (Work Sample Test) 
  • Latihan In-Tray (In-Tray Exercise) 

Oleh itu, jika anda melangkah ke temuduga, selain daripada sesi soal dan jawab yang biasa, anda juga harus menjangkakan satu atau dua penilaian yang akan dilakukan terhadap anda. 


Namun demikian, penilaian sebegini bukanlah seperti ujian yang anda pernah lalui di sekolah atau universiti. Tiada jawapan yang betul ataupun salah. Lebih utama, ujian ini memberikan majikan gambaran tentang sejauh mana kebolehan dan kemahiran anda dalam melakukan tugas. 

Semoga berjaya!

Dari meja konsultan,

NOTA: Baru-baru ini saya berpeluang menyertai sebuah program khas yang mendedahkan teknik pemilihan calon semasa temuduga. Program yang khusus disasarkan untuk penemuduga bertauliah ini memaklumkan teknik terbaru yang direka untuk menilai calon temuduga dengan lebih praktikal dan efektif.