Pages

 

Dari Meja Konsultan: Menghafal bukan caranya

Salam hormat,

Seringkali ketika saya mengendalikan program, peserta akan bertanya, "Apakah soalan yang paling kerap ditanya oleh penemuduga dan apakah jawapan yang paling tepat?". Anda juga mungkin berminat pada soalan-soalan ini bukan? Apatah lagi jika anda fresh grad yang akan menghadiri temuduga kerja pertama anda.

Tiada jawapan yang standard
Saya boleh berikan anda senarai soalan yang mungkin akan ditanya kepada fresh grad dan teknik untuk menjawab soalannya seperti di sini. Namun ini pun sekadar panduan. Setiap tawaran untuk jawatan yang berbeza, daripada syarikat yang berbeza akan memungkinkan jawapan yang berbeza. 

Apatah lagi apabila terdapat pelbagai pengalaman dan penglibatan pada setiap calon. Adapun mungkin pengalaman dan penglibatan yang dilalui sama/hampir sama, kesannya pada perkembangan kemahiran dan mental setiap individu pasti ada kelainan.

Gambar hiasan.
Tidak perlu cuba untuk menghafal
Ini bukan ujian menghafal seperti di sekolah. Seperti yang saya tekankan tadi, tiada jawapan yang standard. Jadi tidak perlulah menghafal jawapan kepada soalan 'ramalan' temuduga tersebut, mengetahui corak soalannya sudah memadai. Kedegilan anda untuk terus berbuat demikian hanya akan menjadikan anda seperti answering machine. Dan saya pasti, tiada majikan yang mahu mengambil 'mesin' bekerja. Mereka mahukan manusia - boleh berdikari, boleh bekerjasama, fleksibel dan cepat belajar walaupun dalam keadaan tekanan kerja yang berbeza-beza.

Jadi buktikanlah anda 'orang' yang mereka cari selama ini. Untuk buktikannya, anda perlu berikan reaksi bijak kepada soalan yang ditanyakan, bukan memberi jawapan yang sama seperti orang lain.

Homework masih diperlukan
Walaupun temuduga bukan seperti ujian di sekolah, kunci kejayaannya tetap sama. Anda perlu buat kerja rumah anda dan lakukan ulangkaji! Jika anda menerima panggilan yang memaklumkan anda berjaya mendapat tempat ke sesi temuduga, segera mulakan research anda.
 
Pergi ke website syarikat tersebut dan dapatkan data yang penting - apakah produk atau servis yang ditawarkan oleh syarikat tersebut? Fahami prinsip perniagaan syarikat dan kelebihan produk/servis yang ditawarkan. Untuk memastikan anda tidak ketinggalan, update diri anda dengan inisiatif terbaru syarikat berkenaan. 

Anda mesti baca bahagian berita (news) kerana kebiasaannya terdapat keratan akhbar berkaitan perkembangan terbaru syarikat yang dikumpul di bahagian ini. Kaji dan ketahui juga peranan yang akan anda lakukan jika anda mendapat jawatan itu nanti.

Kesilapan ramai calon temuduga, terutama mereka yang pertama kali hadir ke temuduga ialah mereka terlalu asyik menyiapkan diri, menghafal soalan dan jawapan tetapi mengabaikan persediaan pengetahuan mereka tentang syarikat.

Percayalah, bakal majikan tidak mahu mengambil bekerja seseorang yang zero knowledge tentang syarikat.

Review semula diri anda
Ambil sedikit masa beberapa hari sebelum temuduga untuk mendalami diri anda semula. Baca semula resume yang telah anda tulis dan fikirkan tiga perkara ini:
  • Apakah aset anda (latar belakang, pengalaman, kemahiran, kekuatan atau pengetahuan) yang paling diperlukan dalam jawatan yang ditawarkan?
  • Bagaimana kehadiran anda boleh mengubah/mengembangkan fungsi dan peranan jawatan tersebut?
  • Bagaimana anda boleh menguntungkan syarikat (secara langsung atau tidak langsung)?

Sediakan slides
Temuduga akan jadi lebih mudah dan menyeronokkan jika anda bersiap sedia. Persiapan adalah asas kejayaan. Menggunakan semua perkara yang saya telah nyatakan dan selepas kajian dan homework yang jitu, saya sarankan anda sediakan powerpoint slides (dalam bentuk points, bukan karangan) yang tidak melebihi 10 slides kesemuanya.

Tayangkan slides ini kepada diri anda sekurang-kurangnya 10 kali sehingga anda boleh bayangkan anda melalui temuduga dengan jayanya sejak dari anda melangkah masuk sehingga akhir temuduga. Bukan menghafal ya! Tujuan slides ini disediakan agar anda mempunyai panduan dan bersedia dengan lebih rapi. Ia juga melatih gaya komunikasi anda, tona suara anda dan nada keyakinan anda. Practice makes perfect!

Cuma satu pesanan terakhir saya, jangan pula anda cetak slides anda dan bawa ke temuduga kerana temuduga bukan seperti ujian di sekolah. Ingat: tiada jawapan standard dan jangan cuba menghafal.

Dari meja konsultan,