Pages

 

Dari Meja Konsultan: Rahsia untuk meningkatkan keyakinan diri dengan pantas dan berkesan

Selamat kembali semua pembaca!

Tiada insan dilahirkan dengan kebolehan istimewa yang boleh menjamin 100% kejayaan dalam hidup mereka. Yang ada cuma insan yang mempunyai matlamat yang jelas, perancangan yang jitu dan usaha yang berterusan untuk bergerak ke arah matlamat hidup masing-masing. 

Kunci kehebatan insan sebegini pada asasnya hanya ada satu – keyakinan diri. 

Seseorang hanya akan menjadi hebat jika keyakinan pada dirinya sendiri menyiapkannya untuk menghadapi segala jenis bentuk cabaran dan kesukaran. Dan ketika cabaran itu benar-benar di depan mata, keyakinan pada diri jugalah yang membantu seseorang untuk melaluinya dan survive

Pendek kata, keyakinan menjadikan kekurangan itu satu kelebihan. Keyakinan menjadikan kesukaran itu satu peluang. Keyakinan menjadikan pengalaman satu pedoman. Keyakinan juga menjadikan masalah sebagai dorongan kuat dalam mencapai matlamat. 

Untuk berjaya dalam dunia masa kini, tidak mencukupi jika cuma ada keyakinan yang sederhana tahapnya. Keyakinan diri anda perlu membuak-buak dan sentiasa bertambah jika mahu berjaya. Dan berita baik untuk anda adalah – setiap insan tidak dilahirkan dengan keyakinan diri sebegini tinggi. Ianya dikategorikan sebagai satu sikap dan sikap ini adalah sesuatu yang boleh dipelajari dan boleh dididik kepada diri sendiri. 

Teknik paling pantas untuk meningkatkan keyakinan diri adalah dengan berkawan dengan orang yang mahu berjaya dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Ya, cara ini pasti menjadi. 

Analoginya seperti dalam industri hartanah, nilai sesuatu rumah boleh meningkat dengan mendadak jika ianya terletak di kawasan perumahan yang mempunyai pelbagai fasiliti. Jika ada kemudahan lengkap, taman bunga, pasaraya besar yang berdekatan, institusi pendidikan yang berkualiti, akses segera kepada kemudahan awam, maka harga rumah pasti mudah melambung. 

Nilai dan harga yang tinggi ini bukan semata-mata disebabkan kehebatan dalaman rumah tersebut, ianya ditentukan oleh kawasan di mana rumah itu berada. Sebaliknya, rumah besar dan mewah akan berkurangan nilai dan harganya apabila kawasan terletaknya rumah ini adalah perumahan yang jauh dari segala prasarana dan kemudahan awam. 

Hal yang demikian jugalah pada manusia. 
Keyakinan adalah perasaan yang berjangkit. Akan menjadi kelebihan kepada anda jika anda mempunyai kawan yang bermotivasi tinggi dan berkeyakinan besar. Kawan sebegini akan memotivasikan anda, mendorong anda dan memberikan kritikan membina untuk anda. Kawan sebegini mahukan anda berjaya mencapai matlamat anda. Mereka sedia mendengar, tidak lokek ilmu dan pengalaman serta terbuka dalam memberi pendapat. 

Orang tua-tua berpesan, berkawanlah dengan penjual minyak wangi, anda akan wangi. Betapa mudah kata-kata ini menggambarkan dengan siapa anda berkawan anda akan menentukan sikap yang akan anda ada. Maka, jika anda berkawan dengan orang yang yakin pada dirinya, amat tidak mustahil anda akan ‘dijangkiti’ dengan mudah dan mula menaikkan graf keyakinan anda pada diri sendiri.

If you have no confidence in self, you are twice defeated in the race of life. With confidence, you have won even before you have started, said Marcus Garvey.

Dari meja konsultan,