Pages

 
Showing posts with label Universiti. Show all posts
Showing posts with label Universiti. Show all posts

Dari Meja Konsultan: (Bahagian 2) 'Buang masa je ambil degree 3-4 tahun...'

Selamat membaca kembali,

Berikut merupakan sambungan daripada artikel (Bahagian 1) 'Buang masa je ambil degree 3-4 tahun...' 

  • sume sambung amik master plak.. pada yg berkemampuan ok la tu.. tp apa yg saya nampak tak ke sama lepas amik master lg susah nak dapat keje? 
Dalam soal sambung ke peringkat master ini, adalah terpulang kepada masing-masing. Secara peribadi, saya cuma ingin berpesan - (jikalau boleh) janganlah jadikan kesukaran mendapat pekerjaan sebagai sebab untuk menyambung pelajaran ke peringkat master. Jika mahu sambung pengajian, pastikan sebabnya adalah untuk menambah ilmu, tingkatkan pengetahuan dan menaikkan taraf diri, academically. 


Ramai rakan-rakan saya sambung ke peringkat master kerana mahu menceburkan diri dalam bidang akademik - jadi pensyarah dan ahli akademik tertinggi. Itu kerjaya pilihan mereka dan dalam bidang akademik tinggi sebegini memang perlu lebih daripada segulung degree. Ini keperluan pekerjaan tersebut.

Kenapa saya katakan ' jangan jadikan kesukaran mendapat pekerjaan sebagai sebab untuk menyambung pelajaran ke peringkat master'? 

Tanyalah diri anda, adakah setelah selesai pengajian master nanti akan memudahkan jalan anda untuk mendapat pekerjaan? Jika ya, teruskanlah belajar. Jika tidak, pertimbangkanlah semula. Bagi saya anda hanya perlu ambil beberapa kelas khas untuk upgrade diri dan tingkatkan potensi diri anda. Dan jika anda kata 'tak tahulah' atau 'tak pasti', kaji semula semua strategi anda dan target hidup anda.

  • at least degree lg murah gaji dr master.. so majikan mesti teragak2 utk amik org master dengan langsung xde pengalaman keje.. 
Majikan tiada masalah dan tidak teragak-agak untuk ambil sesiapa pun bekerja, tidak kiralah berlatarbelakangkan degree atau master. Sebelum saya ulas panjang, mari kita fahami asas proses pengambilan staf baru oleh majikan. 

Pertama, pegawai daripada Jabatan Sumber Manusia (HR Department) akan dimaklumkan tentang kekosongan atau keperluan menggaji orang baru oleh jabatan (department) lain. Maka satu usul kepada pihak pengurusan (management) tertinggi akan dibuat untuk memohon kebenaran menggaji orang baru. Pihak pengurusan akan menilai usul ini dan mengkaji melalui pelbagai sudut sama ada dengan menggaji orang baru akan mendatangkan keuntungan (profit) kepada syarikat dan membantu mengembangkan lagi potensi syarikat. 

Apabila usul ini diluluskan, HR Department akan dimaklumkan tentang kelulusan peruntukan daripada pihak pengurusan tertinggi berkenaan kos untuk menawarkan jawatan ini (iklan, kos sewa portal pekerjaan dan sebagainya), kos melatih pekerja baru tersebut, faedah-faedah pekerjaan yang lain seperti bonus, cuti dan bantuan perubatan. Kesemua kos ini sudah dikaji dan diambil kira lebih awal kerana ia melibatkan duit syarikat. 

Kemudian, jawatan tersebut pun ditawarkan berdasarkan kriteria tertentu. Ramailah yang berpusu-pusu memohon - ada yang layak, yang kurang layak, yang terlebih layak pun ada. 

Jadi bagaimana majikan mahu membuat pilihan? Seperti yang saya selalu tekankan - pertama sekali penilaian pada resume (sebab itulah resume mesti ada 'umph') dan seterusnya setelah pilihan resume dibuat, screening pula semasa temuduga. 

Semasa temuduga, majikan mahu mencari seseorang yang sesuai dengan jawatan yang ditawarkan. Maksud 'sesuai' di sini ialah 'mampu menjalankan tugas yang bakal diberi dengan efektif'. Jadi, jika anda majikan, apa yang anda akan pandang pada seorang calon temuduga tersebut?


Inilah yang kita panggil PAKEJ. Calon mestilah mempunyai kelayakan yang mencukupi, sikap yang betul dan kemampuan menjalankan tugas yang bakal diberikan. Kelayakan orang yang memohon mungkin degree atau lebih tinggi, itu tidak menjadi masalah kepada majikan. Persoalan yang lebih utama pada mereka ialah 'Mampukah calon ini menjalankan tugas yang ditawarkan itu nanti?', 'Adakah beliau mempunyai sikap yang betul untuk bertahan lama di sini?'. Di sinilah 'nilai' anda mula dihitung. 

Bukan mudah (tetapi ada tekniknya) untuk majikan menilai calon yang betul untuk diambil bekerja apatah lagi semasa temuduga adalah pertama kali mereka bertemu calon temuduga tersebut. Tersilap pilih, seseorang yang diambil bekerja itu mungkin tidak bertahan lama dan ini merugikan syarikat. 

Apabila jawatan ditawarkan kepada calon yang layak, tangga gaji dan faedah lain pun ditetapkan. Anda perlu ingat, perkara yang melibatkan kos untuk menggaji pekerja ini sudah pun ditetapkan awal sebelum jawatan tersebut diiklankan. Yang menjadi penentu adalah PAKEJ anda. Layakkah anda dibayar pada tangga gaji maksimum, minimum atau pertengahan? Inilah yang berada di minda majikan dan ditentukan oleh mereka. 

Oleh sebab itulah mereka yang mempunyai pengalaman bekerja mempunyai kelebihan. Mereka mampu mempamerkan bahawa mereka mempunyai pakej yang dicari semasa temuduga. Manakala calon yang baru pertama kali mencari kerja mungkin akan berasa canggung apabila melalui proses temuduga dan mengakibatkan mereka tidak mampu mempamerkan pakej mereka dengan lebih efektif.
 
  • saya skarang dalam proses untk sambung blaja..cuma x sure nk amik jurusan apa...
Saya mempunyai pelbagai perkongsian menarik yang berkaitan dengan soalan di atas. Saya mempunyai rakan yang belajar dalam bidang farmasi dan kini berjaya sebagai seorang pegawai syarikat kewangan. Saya juga mempunyai rakan yang mempunyai degree dalam kejuruteraan dan kini berjaya sebagai pegawai Human Resource. Malah ramai juga doktor menjadi ahli politik dan peguam melepaskan kerjaya profesional untuk menjadi pelakon.

Ada ramai lagi contoh terdekat namun kesimpulan yang saya temui adalah sama. Kadang-kadang hidup ini penuh dengan agenda tersendiri, di luar perancangan kita. Bagi saya adalah amat penting untuk lakukan apa yang anda benar-benar suka dan minati. Dalam aspek belajar pula - belajar subjek yang kita minati dalam suasana yang menyeronokkan pasti akan membuahkan hasil yang menakjubkan!

Memang benar pemilihan jurusan di peringkat universiti akan mempengaruhi keputusan kerjaya anda. Namun, trend masa kini agak berlainan. Jika anda boleh buktikan anda ada PAKEJ yang dicari, soal jurusan boleh menjadi perkara kedua.

Faktor pemilihan jurusan di universiti tempatan dipengaruhi 3 faktor: keputusan akademik anda, pencapaian kokurikulum anda serta kuota yang ditawarkan (anda perlu kaji juga aspek ini). 

Oleh itu, sebelum anda membuat pilihan jurusan, dalami minat dan kecenderungan diri anda terlebih dahulu dan bandingkan dengan pelbagai jurusan yang ditawarkan. Buat pilihan bijak kerana berkemungkinan besar anda mempunyai peluang memilih yang terhad.

  • Adakah faktor jurusan yg diambil nanti merupakan faktor utama ramai graduan yg menganggur?
Jawapan saya untuk soalan di atas adalah 'tidak'. Kenapa? Faktor utama graduan menganggur sebenarnya pada sikap. Sikap malu untuk memperbaiki diri dan terlalu asyik di dalam comfort zone mereka sendiri.


Sebagai contoh, dek kerana sikap endah tak endah, ramai yang amat lemah dalam aspek komunikasi walaupun mereka menyedari kemahiran ini adalah ibarat lombong emas pada kaca mata semua majikan.
Jika kita dapat jurusan dan kerjaya yang tepat sekalipun, tanpa sikap yang betul, berkemungkinan besar kerjaya kita tidak bertahan dan kita menjadi tertekan dengan hidup. Jika kita mendapat jurusan bukan pilihan kita pula, dengan sikap sanggup belajar perkara baru, tekun dan sabar, kita akan menemui keseronokan dalam kerjaya baru kita.
Faktor jurusan adalah faktor sampingan yang amat kecil untuk diambilkira sebagai punca graduan menganggur. Sekalipun jurusan itu mungkin tidak sesuai dengan kerjaya yang kita inginkan nanti, apakah tiada cara lain untuk kita tingkatkan nilai dan pakej diri untuk melayakkan kita mendapat kerja tersebut? Saya amat yakin ada.

Tepuk dada, tanya selera. Kita tidak mungkin boleh mengubah satu dunia. Tetapi dengan mengubah dan memperbaiki diri kita, seluruh dunia akan turut berubah.
Aim for success, not perfection. Never give up your right to be wrong, because then you will lose the ability to learn new things and move forward with your life. (Dr. David M. Burns)

Dari meja konsultan,
Read more...

Dari Meja Konsultan: (Bahagian 1) 'Buang masa je ambil degree 3-4 tahun...'

Salam pembaca budiman,

Kali ini saya ingin bawakan satu soalan yang diajukan oleh salah seorang pembaca. Soalan ini dihantar oleh beliau di ruang soal jawab dan saya berpendapat adalah lebih baik saya kongsikan jawapan saya di sini memandangkan ianya antara soalan yang paling kerap ditanya kepada saya.

Ini soalan beliau:

Kak Mary,

Saya bekas pelajar SMKBB Sg. Buloh dan pernah mengikuti program CCP (Career Coaching Programme) akak. Saya just nak tanya, kebanyakkan forum yang saya baca berkaitan kerjaya ramai yg komplen tentang susah dapat kerja... buang masa je amik degree 3-4 tahun..

So jawapan nya... sume sambung amik master plak.. pada yg berkemampuan ok la tu.. tp apa yg saya nampak tak ke sama lepas amik master lg susah nak dapat keje? at least degree lg murah gaji dr master.. so majikan mesti teragak2 utk amik org master dengan langsung xde pengalaman keje..

Soalan saya.. saya skarang dalam proses untk sambung blaja..cuma x sure nk amik jurusan apa..

Adakah faktor jurusan yg diambil nanti merupakan faktor utama ramai graduan yg menganggur?

Minta pandangan Kak Mary..

Thanks.
Ex-SMKBBSB


Ini jawapan saya kepada semua pembaca:

Terdapat beberapa info penting daripada soalan ini yang perlu saya tekankan terlebih dahulu:
  • ramai yg komplen tentang susah dapat kerja... buang masa je amik degree 3-4 tahun..
Pemahaman 'buang masa' dalam konteks ini adalah tidak wajar. Apabila berdepan dengan kesukaran mendapat pekerjaan, tidak munasabah terus menyalahkan degree yang telah dipelajari bertahun-tahun. Saya rasa ini tindakan orang yang dangkal pemikiran. Apatah lagi jika pemahaman sebegini datang daripada golongan yang dikategorikan berpelajaran tinggi.

Proses pembelajaran yang kita lalui sejak tadika, sekolah rendah, sekolah menengah sehingga ke peringkat universiti adalah proses mendapatkan ilmu. Ilmu yang digunakan dengan bijaksana akan membawa manfaat. Tanggapan kita silap jika hanya mengandaikan segulung ijazah akan memberi jaminan kepada sebuah kerjaya.
A (college) degree is not a sign that one is a finished product but an indication a person is prepared for life ~ Edward A. Malloy.
Isu susah dapat kerja pula isu yang perlu diteliti secara individu. Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan seseorang itu sukar mendapat pekerjaan. Melalui program yang saya anjurkan dan kajian tentang perkara ini melalui perspektif majikan, antara punca kesukaran mendapat pekerjaan adalah: 

Tiada strategi betul dalam proses mencari kerja - Ya! Anda perlukan strategi dalam mencari kerja. Sama jugalah seperti belajar. Strategi belajar yang betul meninggikan potensi untuk mendapat keputusan pelajaran yang baik. 

Ramai yang saya temui sekadar menulis satu resume dan menghantar resume yang sama ke berpuluh-puluh syarikat. Kemudian mereka menunggu jawapan dan akhirnya kecewa apabila hanya dipanggil ke satu atau dua temuduga. Lebih kecewa apabila mereka gagal dalam temuduga tersebut. Jika ini strategi anda, saya kira anda perlu belajar strategi yang betul.


Resume yang tidak ada 'umph'! - Resume bukan sekadar biodata yang anda tulis seperti mahu berkenalan dengan kawan baru. Resume juga bukan jaminan anda pasti akan ditemuduga dan mendapat pekerjaan. Resume ini bolehlah kita umpamakan seperti iklan. Ringkas, padat, menarik dan menimbulkan rasa ingin tahu. Resume yang bagus akan melayakkan anda untuk ditemuduga dan proses temudugalah yang menjadi platform penentu sebelum anda diambil bekerja. Jika resume tidak mantap dan tiada daya penarik, amat tipislah peluang dipanggil ke temuduga dan hampir tiadalah peluang untuk mendapat kerja.


Kemahiran berkomunikasi yang lemah - Memetik kata-kata Datuk Maznah Hamid: "Jika dari segi akademik, individu itu hebat, namun lemah dari aspek komunikasi, ia tetap tidak akan membantu kejayaan individu itu, justeru kemahiran (komunikasi) ini perlu dikuasai." Majikan tidak akan hanya melihat gred 'A' pada subjek bahasa Inggeris, sebaliknya mereka mahu anda bijak berkomunikasi dalam bahasa tersebut. Jangan pandang ringan perkara ini, jika anda masih segan, takut, malu dan tidak berani untuk berkomunikasi, ambil inisiatif segera untuk mempelajari kemahiran ini.

Jika diperhatikan tiga perkara yang saya highlight di atas tidak secara langsung berkait dengan mana-mana degree sekalipun. Ini adalah kemahiran ekstra yang perlu dipelajari oleh sesiapa yang inginkannya. Jika anda melihat kesukaran mendapat pekerjaan sebagai satu masalah, maka carilah jalan penyelesaiannya, bukan dengan meletakkan alasan pada degree atau pada perkara lain.
So save ourselves some frustration today and try to learn to stop blaming other things. Focus instead on improving ourselves and we may find ourselves living a happier life.
Read more...